KUALA LUMPUR: Festival muzik, Ultra Kalcer Malaysia 2026 bakal menggabungkan
sembilan belas penyanyi terkenal dari Indonesia dan Malaysia berkongsi pentas
menggegarkan KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.
Barisan artis Indonesia yang ditampilkan pada festival anjuran Neptunes Presents termasuklah
diva tersohor Kris Dayanti, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla,
Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes & The
Moonlight Knights.
Manakala, artis tempatan yang juga tuan rumah yang turut memeriahkan festival ini ialah
Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.
Jurucakap penganjur dari Neptunes Presents, aktres Nabila Huda Suhaimi berkata, pihaknya
bangga dapat bersama meraikan acara festival muzik yang menampilkan barisan penyanyi
terbaik dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia itu.
“Pasukan kreatif produksi juga bertungkus lumus mendapatkan barisan penyanyi yang terdiri
daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia untuk menjayakan festival
ini.
“Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di
hati peminat kedua negara.
“Setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling
hebat untuk menghiburkan pengunjung pada festival nanti.
“Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan barisan penyanyi masih dirahsiakan sehingga hari
persembahan,” kata anak kepada rockers terkenal, Datuk Amy Search itu.
Nabila berkata demikian pada sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang berlangsung di
The Volume, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar; Ketua
Pegawai Operasi Neptunes, Fizzany Adnan dan Pengarah Projek, Shamil Yusof.
Mengulas soal pemilihan lokasi pula, Nabila berkata, Ultra Kalcer Malaysia 2026 bakal
diadakan di KL Festival Park, Kuala Lumpur.
“Hasil perbincangan, pihak kami memilih KL Festival Park kerana ia lokasi yang strategik untuk
penganjuran festival besar ini.“Pada masa sama, lokasi ini juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana
mampu memuatkan kapasiti lebih 20,000 penonton dalam satu masa.
“Jualan tiket dengan harga mampu milik untuk semua bagi menyaksikan festival ini sudah mula
dijual sejak 4 September lalu dan boleh didapati menerusi laman web http://www.bbo.events.com,”
katanya.
Sebelum ini, Neptunes Presents pernah bekerjasama dengan rakan kongsi lain menganjurkan
Festival Muzik Nyalafest yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala
Lumpur pada 30 November 2024.
Seramai lapan artis terkenal dari dua negara terbabit dalam festival itu terdiri dari artis terkenal
Indonesia, Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya,
manakala, artis tuan rumah pula dibarisi Noh Salleh X Restoe Iboe dan Fugo.