KUALA LUMPUR 18 Sept – Lebih lapan juta pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka menikmati bil elektrik lebih rendah mulai Oktober ini susulan peluasan aras perlindungan penggunaan elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, langkah itu membolehkan pengguna menikmati penjimatan sehingga RM47.25 sebulan atau hampir 13 peratus, bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik.
Peluasan berkenaan melibatkan pengecualian caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 kepada pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan.
Sebelum ini, perlindungan berkenaan hanya diberikan kepada pengguna dengan penggunaan sehingga 600 kWj sebulan.
“Dengan perluasan zon perlindungan ini, diharapkan lebih ramai pengguna akan dapat mengawal bil masing-masing dan mengurangkan beban daripada pihak pengguna.
“Pengguna yang menggunakan 601 kWj akan menyaksikan bil elektrik berkurang daripada RM258.40 kepada RM225.50, iaitu penjimatan RM32.90 sebulan.
“Bagi penggunaan 650 kWj, bil menurun daripada RM280.20 kepada RM243.90 (jimat RM36.30),” katanya pada Taklimat Media Mengenai Mekanisme Pelindungan Tambahan Buat Pengguna Domestik Elektrik, hari ini.
Menurut Shamsul, isi rumah yang mencatat penggunaan 700 kWj pula akan membayar RM276.85 berbanding RM316.75 sebelum ini, sekali gus menikmati penjimatan RM39.90.
“Penggunaan 750 kWj pula mencatat penurunan bil daripada RM347.85 kepada RM304.30, bersamaan penjimatan RM43.55.
“Bagi penggunaan maksimum dalam kategori perlindungan baharu, iaitu 800 kWj, bil elektrik dikurangkan daripada RM375.85 kepada RM328.60, memberikan penjimatan tertinggi sebanyak RM47.25 sebulan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengumumkan peluasan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kWj sebulan berbanding had 600 kWj sebelum ini.
Perlindungan tambahan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik bermula September sehingga 31 Disember 2026.
Bagi penggunaan sepanjang September, pengurangan caj berkenaan akan dikreditkan dalam bil elektrik Oktober.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik TNB, termasuk hampir sejuta pengguna tambahan susulan peningkatan aras perlindungan kepada 800 kWj.
Tajuk hook lain:
Guna elektrik bawah 800 kWj? Bil Oktober boleh jimat hingga RM47.25
Bil TNB bakal lebih rendah Oktober ini, 90 peratus pengguna domestik dapat manfaat
Had perlindungan naik 800 kWj, bil elektrik boleh turun hampir 13 peratus
Lebih 8 juta pengguna TNB bakal bayar bil lebih rendah mulai Oktober