KUALA LUMPUR: Peminat muzik metal yang masih berkira-kira untuk menyaksikan aksi kumpulan metal wanita popular dari Jepun, Lovebites, di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober ini perlu membuat keputusan segera apabila jualan tiket kini sudah mencecah 60 peratus.
Dibawakan Rockstage Entertainment, Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur menjadi penampilan sulung kumpulan berkenaan di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu buat peminat tempatan yang sekian lama menantikan peluang menyaksikan sendiri kehebatan mereka di pentas.
Konsert itu juga menjadi sebahagian daripada Outstanding Tour – SEA 2026 yang membawa Lovebites menjelajah rantau Asia Tenggara termasuk Singapura dan Thailand.
Perkembangan jualan tiket yang kini sudah mencapai 60 peratus jelas menunjukkan sambutan peminat tempatan terhadap kumpulan berkenaan semakin hangat.
Dengan baki tiket yang semakin berkurangan, peminat tidak wajar menunggu sehingga saat akhir kerana konsert sulung Lovebites di Malaysia ini berpotensi mencatat kehadiran yang menggalakkan.
Bagi peminat Lovebites, konsert ini cukup istimewa kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia. Ditubuhkan pada 2016, kumpulan itu dianggotai Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bass) serta Haruna (dram).
Mereka mencipta identiti tersendiri menerusi gabungan heavy metal, power metal dan speed metal yang diperkukuhkan dengan melodi dramatik serta permainan instrumental berintensiti tinggi.
Kekuatan Lovebites bukan sekadar pada vokal Asami, malah kehebatan dua gitaris, Midori dan Miyako, sering menjadi perhatian peminat menerusi permainan gitar yang pantas, teknikal dan penuh tenaga.
Pada masa sama, permainan bass Fami dan pukulan dram Haruna melengkapkan bunyi berat yang menjadi ramuan utama persembahan mereka.
Tidak hairanlah Lovebites berjaya mencuri perhatian dalam arena metal antarabangsa dan pernah tampil di festival berprestij seperti Wacken Open Air.
Kumpulan itu juga pernah menerima pengiktirafan Best New Band pada Metal Hammer Golden Gods Awards 2018, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama penting dalam generasi baharu metal Jepun.
Tahun ini juga cukup istimewa buat Lovebites apabila mereka meneruskan momentum antarabangsa menerusi siri persembahan dan jelajah di beberapa negara. Antara pencapaian besar mereka ialah persembahan di Nippon Budokan, sebuah pentas ikonik yang menjadi impian ramai penggiat muzik Jepun.
Selepas menjelajah Eropah, United Kingdom dan Jepun, Lovebites kini membawa tenaga sama ke Asia Tenggara menerusi Outstanding Tour – SEA 2026. Kuala Lumpur menjadi salah satu persinggahan yang pastinya dinantikan peminat tempatan.
Lebih menarik, pentas Zepp KL memberikan suasana yang lebih dekat dan intim antara artis dengan penonton. Buat peminat metal, ia bermakna setiap dentuman dram, raungan gitar, bass dan vokal dapat dirasai dengan lebih dekat.
Jika masih ada yang tertanya-tanya mengapa perlu mendapatkan tiket, jawapannya mudah kerana pengalaman menyaksikan Lovebites secara langsung tidak sama dengan sekadar menonton video persembahan mereka di YouTube.
Bayangkan dua gitaris, Midori dan Miyako, saling bersahut menerusi riff serta solo gitar berkelajuan tinggi, disusuli bass Fami yang menggelegar dan pukulan dram Haruna yang menghentam tanpa henti. Kesemuanya pula digabungkan dengan vokal Asami yang cukup bertenaga.
Itulah pengalaman yang bakal dirasai apabila lima anggota Lovebites berdepan secara langsung dengan penonton Malaysia. Bagi peminat gitar solo, permainan pantas, melodi berat dan persembahan metal berintensiti tinggi, konsert ini pastinya antara acara yang wajar dimasukkan dalam senarai wajib tonton 2026.
Apatah lagi, peluang untuk melihat Lovebites secara langsung di Malaysia bukan sesuatu yang datang setiap tahun.
Dengan jualan tiket kini mencecah 60 peratus, peminat yang masih belum mendapatkan tiket disaran bertindak segera. Jelajah Outstanding Tour – SEA 2026 dijadual bermula di Singapura pada 2 Oktober, diikuti Thailand pada 3 Oktober sebelum Lovebites tiba di Kuala Lumpur pada 4 Oktober.