KUALA LUMPUR, 10 Jun – ASUS memperkenalkan komputer riba perniagaan premium terbaharunya, ASUS ExpertBook Ultra, yang disifatkan sebagai penanda aras baharu dalam segmen komputer riba perusahaan berkuasa kecerdasan buatan (AI), sempena Next Enterprise Summit 2026.
Pelancaran yang turut diadakan serentak di Malaysia, Singapura, Australia dan New Zealand itu menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin industri, rakan perusahaan dan pakar teknologi.
Direka khusus untuk memenuhi keperluan profesional moden, ASUS ExpertBook Ultra merupakan komputer riba Copilot+ PC dengan berat hanya 0.99 kilogram dan ketebalan 10.9 milimeter, menjadikannya antara komputer riba 14 inci paling ringan dan kompak di pasaran.
Peranti ini dikuasakan sehingga pemproses Intel® Core™ Ultra X7 Series 3, digandingkan dengan grafik Intel® Arc, storan berkelajuan tinggi PCIe Gen 5×4 serta sistem penyejukan ASUS ExpertCool Pro yang membolehkan prestasi tinggi dikekalkan secara konsisten tanpa menjejaskan operasi yang senyap.
ASUS turut melengkapkan ExpertBook Ultra dengan paparan sentuh 14 inci 3K Tandem OLED, sistem audio Dolby Atmos enam pembesar suara, bateri 70Wh yang mampu bertahan sehingga 26 jam, selain menyokong pengecasan pantas yang menyediakan sehingga enam jam penggunaan menerusi pengecasan selama 15 minit.
Dari aspek keselamatan perusahaan, komputer riba ini menawarkan perlindungan bertaraf tinggi melalui suite MyExpert AI, teknologi Dual BIOS, piawaian keselamatan NIST SP 800-193, pengimbas cap jari, pengecaman wajah inframerah (IR) serta penutup kamera fizikal bagi memastikan privasi pengguna sentiasa terpelihara.
Co-CEO ASUS, S.Y. Hsu, berkata ExpertBook Ultra dibangunkan tanpa kompromi bagi memenuhi keperluan generasi baharu pemimpin perniagaan yang memerlukan prestasi AI, mobiliti tinggi dan reka bentuk premium dalam satu peranti.
“ExpertBook Ultra merupakan kemuncak kejuruteraan ASUS yang direka untuk mentakrifkan semula masa depan produktiviti. Ia menggabungkan prestasi AI, kuasa pemprosesan dan mobiliti dalam sebuah komputer riba premium yang memenuhi keperluan profesional moden,” katanya.
Pelancaran itu turut mendapat sokongan Intel dan Microsoft, yang menekankan kerjasama strategik dalam memperkasakan pengalaman AI melalui Windows 11 Pro Copilot+ PC, termasuk ciri transkripsi masa nyata, terjemahan automatik dan carian dokumen berasaskan AI yang diproses terus pada peranti bagi meningkatkan keselamatan data dan produktiviti organisasi.
Dengan gabungan reka bentuk ultra ringan, prestasi tinggi, teknologi AI serta ciri keselamatan bertaraf perusahaan, ASUS yakin ExpertBook Ultra mampu menjadi pilihan utama bagi sektor korporat, perusahaan dan golongan profesional yang memerlukan sebuah komputer riba berprestasi tinggi untuk menghadapi cabaran dunia kerja digital masa kini.