Komited melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon dan tidak menyangka drama Andai Tiada Dia menjadi fenomena dalam kalangan penonton.
Malah ‘kematian Falah’ diratapi ramai sehingga peminat mengirimkan ucapan takziah di media sosial. Begitu kuatnya penangan lakonan Zahiril Adzim membawakan karakter itu.
Zahiril atau nama sebenarnya, Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, berkata, dia menjalani penggambaran seperti biasa tanpa memikirkan naskhah itu bakal mencetuskan fenomena.

“Kita pergi set, kemudian ‘shooting’ dan apabila selesai, balik rumah.
Sama macam drama Aku Bukan Ustazah juga dulu. Kita ‘shooting’ sahaja macam biasa, tapi bila mula tayang tak sangka ia akan meletup dan jadi fenomena.
“Namun saya tetap jadi diri sendiri. Kalau nak kata bilangan peminat bertambah itu, tak banyak beza sangat sebab saya pun jarang keluar rumah. Kalau tak ‘shooting’ pun memang duduk dekat kedai saya sahaja.
“Pengikut di media sosial itu
Alhamdulillah… memang ada lah peningkatan cuma tidaklah cecah sampai ratus ribu atau juta,” katanya yang sebelum ini tampil dengan drama bersiri Aku Bukan Ustazah pada awal 2024.
Menurutnya, bukan perkara pelik apabila peminat memanggilnya dengan nama watak apabila terserempak di mana-mana.
“Dulu orang panggil saya Daim watak dalam Juvana, seterusnya Adi (KL Gangster Underworld) dan hari ini apabila keluar orang panggil saya Falah pula.
“Apapun saya bersyukur rezeki dalam lakonan tetap ada. Masih sama juga, tak lebih dan tak kurang. Sebelum saya buat drama Andai Tiada Dia pun,
Alhamdulillah masih tetap ada tawaran yang datang.
“Cuma isteri saya kena tengok kalau jadual sesuai baru boleh buat. Sekarang ini saya tengah sambung drama Aku Bukan Ustazah musim kedua pula,” katanya.
Tambah Zahiril, dia juga tidak sabar menanti maklum balas filem arahannya yang dijangka tayangannya pada tahun ini.
“Tahun lepas saya ada mengarah bersama Adrian Teh untuk filem saya bertajuk “Martabat: Misi Berdarah”
Insya-Allah akan ditayangkan tahun ini. Ia sesuatu yang mengujakan.
“Bercakap mengenai watak pula, saya sebenarnya tiada sangat pun memilih sebab saya jenis yang tak kisah tawaran apa yang diberikan. Namun kemudiannya saya akan pilih dulu sama ada sesuai atau tidak watak itu dengan saya.
“Keserasian lakonan pula selalunya berlaku menerusi perbincangan antara gandingan saya ketika itu. Seterusnya lakonan kena ada dua hala, tak boleh salah seorang yang letak usaha untuk keserasian dan seorang lagi hanya turut saja.
“Kena dua-dua pihak ada usaha, ‘throw and catch’ dan Insya Allah keajaiban akan berlaku,” kata Zahiril suami kepada Shera Aiyob itu.
Aktor itu juga tidak mengehadkan berapa banyak drama atau filem yang akan dibintangi setahun.