‘Tak ada satu pun cerita yang ditokok tambah’ – Puteri Balqis ada dokumen 20 muka surat bukti, video
KUALA LUMPUR 19 Nov – Pelakon Puteri Balqis menegaskan dakwaan salah laku yang dibangkitkannya tidak ditokok tambah, sambil mendakwa mempunyai dokumen lengkap setebal 20 muka surat serta bukti termasuk rakaman video.
Puteri Balqis atau Aqish, 19, berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram Story dan memaklumkan proses berkaitan dakwaan berkenaan masih berjalan.
“(Sebanyak) 20 muka surat berserta bukti, termasuk rakaman video. Tak ada satu pun cerita yang ditokok tambah. Proses masih berjalan.
“Begini rupanya berat yang perlu ditanggung bila bersuara tentang perkara benar.
“Semoga kebenaran mendapat tempat, pada waktu yang paling tepat. Semoga doa kami didengar. Dan yang menyembunyikan akhirnya mendapat balasan,” katanya.
Aqish yang baru-baru ini membuat permohonan maaf secara terbuka atas penggunaan kata-kata kasar turut meluahkan cabaran dan bebanan emosi yang dihadapinya dalam menuntut keadilan serta kebebasan diri.
Anak tunggal itu juga berharap kebenaran mendapat tempat, selain menitipkan doa supaya individu yang cuba menyembunyikan perkara sebenar menerima balasan.
Sebelum ini, Aqish menerusi hantaran di Instagram meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwanya sengaja bergesel dengannya ketika melakonkan babak bersama.
Bagaimanapun, pelakon baharu Zarif Ghazzi menerusi kenyataan di Instagram menafikan pembabitannya dan memaklumkan laporan polis sudah dibuat bagi proses tindakan undang-undang selanjutnya.
Sementara itu, syarikat produksi Global Film Station Sdn Bhd menerusi kenyataan rasmi semalam menyatakan kesediaan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung isu membabitkan Puteri Balqis dan Zarif.