12 Julai 2026 : Fesyen sering dianggap sebagai soal penampilan, trend dan citarasa peribadi. Namun, sejak awal sejarah manusia, pakaian sebenarnya berfungsi sebagai bahasa visual satu medium komunikasi yang menyampaikan mesej tanpa suara. Warna, potongan, tekstur dan simbol yang digunakan dalam rekaan bukan sekadar elemen estetik, tetapi mencerminkan emosi, pengalaman serta kesedaran sosial seseorang atau sesebuah masyarakat.
Sejarah membuktikan bahawa fesyen tidak pernah bersifat neutral. Pada era Pop Art 1960-an, imej budaya popular seperti tin sup Campbell digunakan sebagai sindiran terhadap konsumerisme. Selepas Perang Dunia Kedua, wanita mula memakai seluar sebagai simbol perubahan peranan dan kebebasan. Gerakan punk pada 1970-an pula menggunakan pakaian sebagai bentuk penentangan terhadap sistem, manakala jenama seperti Moschino menyampaikan kritikan industri fesyen melalui humor dan ironi. Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa fesyen sentiasa berbicara tentang zamannya.
Dalam konteks semasa, peranan fesyen sebagai medium ekspresi dan penyampaian mesej semakin jelas, termasuk dalam dunia fesyen tempatan. Karya pereka hari ini bukan sahaja menonjolkan kemahiran teknikal, tetapi turut membawa naratif sosial, emosi dan kemanusiaan yang dekat dengan realiti masyarakat.
Sebagai contoh, rekaan fesyen oleh Nurul Hanan Saadah Samsudin yang berinspirasikan lukisan kanak-kanak tadika menterjemahkan memori, imaginasi dan kejujuran emosi ke dalam pakaian. Lukisan yang bersifat spontan, atau lebih dikenali sebagai Naïve Art, diangkat sebagai teknik dan sumber inspirasi utama dalam rekaan fesyen ini. Bahasa visual yang terhasil bukan sahaja meraikan kepolosan kanak-kanak sebagai generasi baharu, tetapi juga mengangkat nilai childhood yang wajar dihargai dan dilindungi. Dalam konteks ini, fesyen berfungsi sebagai medium empati yang lembut, namun berkesan dalam menyampaikan mesej kemanusiaan.

Rekaan Nurul Hanan Saadah Samsudin berinspirasikan daripada lukisan yang di hasilkan oleh kanak-kanak tadika.

Ilham daripada teknik melukis oleh kanak-kanak seperti stampling tapak tangan sebagai salah satu bahasa visual oleh pereka Eda Nurul Hanida MD Daud
Selain itu, fesyen juga mampu mengangkat budaya popular dan konsumerisme sebagai mesej visual. Rekaan yang berinspirasikan makanan manisan menggunakan warna, bentuk dan tekstur sebagai simbol keseronokan segera dan gaya hidup masyarakat moden. Seperti pengaruh Pop Art suatu ketika dahulu, objek harian diterjemahkan ke dalam pakaian bukan sekadar untuk menarik perhatian, tetapi untuk mengajak khalayak merenung tabiat dan nilai yang sering dinormalisasikan dalam kehidupan seharian.

Nurul Najlaa’ Mohd Hirman menghasilkan satu rekaan melalui perincian kepada makanan manisan sebagi simbol kepada mesej visual.
Fesyen turut berfungsi sebagai medium kesedaran sosial, khususnya dalam isu yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Melalui pendekatan streetwear, rekaan Ahmad Zulhelmi yang mengangkat isu buli menggunakan simbol, tampalan dan keratan akhbar sebagai bahasa visual. Elemen-elemen ini menjadikan pakaian sebagai dokumen sosial yang mencerminkan tekanan, penolakan dan trauma yang dialami mangsa buli. Tanpa perlu ungkapan keras, fesyen menjadi ruang untuk mendidik, menyedarkan dan mengajak masyarakat lebih peka terhadap isu sosial yang berlarutan.


Rekaan streetwear oleh Ahmad Zulhelmi Hafizi Ghazali yang mengangkat isu buli melalui simbol dan keratan akhbar sebagai mesej kesedaran sosial.
Dalam skala yang lebih luas, fesyen juga berupaya menjadi medium kesedaran kemanusiaan global. Rekaan Nur Adlin Sofiya mohd Rashiddi yang berinspirasikan konflik di Gaza menggunakan simbol dan bahasa visual yang bersifat reflektif untuk menyampaikan mesej empati dan solidariti. Melalui pendekatan puitis dan tidak agresif, pakaian menjadi suara kemanusiaan yang mengingatkan masyarakat tentang penderitaan orang awam tanpa perlu retorik politik.
Rekaan oleh Nur Adlin Sofiya yang mengangkat isu kemanusiaan dan penderitaan konflik Gaza melalui pendekatan simbolik dan bahasa visual.
Kesemua contoh ini membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar tentang apa yang dipakai, tetapi tentang apa yang ingin disampaikan. Dalam masyarakat majmuk, kebebasan berekspresi melalui fesyen perlu disertai kesedaran terhadap nilai, adab dan tanggungjawab sosial. Apabila digunakan secara beretika, fesyen berupaya menjadi alat pendidikan, refleksi dan komunikasi yang berkesan.
Dalam dunia yang semakin bising dengan kata-kata dan imej digital, fesyen kekal sebagai suara yang senyap tetapi berpengaruh. Apa yang kita pakai bukan sahaja mencerminkan diri, tetapi juga mewakili pendirian, emosi dan kesedaran kita terhadap dunia sekeliling. Justeru, fesyen wajar dilihat bukan sekadar gaya, tetapi sebagai mesej yang membentuk dan mencerminkan masyarakat.
Disediakan Oleh
Khalik Mustafa
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka
UiTM Cawangan Perak