Wanita dibakar hidup-hidup.
New York: Seorang wanita maut selepas dibakar hidup-hidup ketika tidur di dalam kereta api bawah tanah di New York City, pada Ahad pagi.
Kejadian tragis ini berlaku tanpa sebarang provokasi dan polis sudah menahan suspek beberapa jam selepas jenayah itu berlaku.
Wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu dilaporkan duduk tanpa bergerak dipercayai sedang tidur, di dalam kereta api yang tidak bergerak di Stesen Coney Island-Stillwell Avenue, Brooklyn, kira-kira 7.30 pagi waktu tempatan apabila seorang lelaki tidak dikenali menghampirinya dan membakar pakaiannya menggunakan pemetik api, menurut Jabatan Polis New York (NYPD).
Polis menyatakan tiada interaksi berlaku sebelum serangan itu, dan mereka tidak percaya kedua-dua individu tersebut saling mengenali.

Lelaki itu keluar dari kereta api sebaik sahaja polis yang sedang membuat rondaan di stesen berkenaan bergegas ke tempat kejadian selepas melihat api.
“Apa yang mereka lihat ialah seorang individu berdiri di dalam kereta api yang terbakar sepenuhnya,” kata Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch, dalam satu sidang media.
Anggota polis menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran, tetapi wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan kecemasan.
Polis kemudiannya menahan seorang suspek, yang identitinya belum didedahkan kepada umum, ketika dia sedang menaiki kereta api lain pada hari yang sama.
Polis masih menyiasat identiti mangsa dan motif serangan itu.
Sehingga November, sembilan kes pembunuhan dilaporkan di sistem kereta api bawah tanah di New York, berbanding lima kes dalam tempoh yang sama pada 2023, menurut data polis.
Awal bulan ini, juri membebaskan Daniel Penny daripada tuduhan pembunuhan cuai mermbabitkan kematian Jordan Neely, seorang bekas penghibur jalanan dan gelandangan di kereta api bawah tanah New York.
Neely dilaporkan menjerit dengan marah kepada penumpang ketika Penny menahannya dari belakang dan mencekiknya selama beberapa minit.