Air kencing kebiasaannya berwarna kuning jernih mahupun pekat. Tetapi boleh mengundang kerisauan apabila bertukar warna menjadi merah.
Ini dinamakan kencing berdarah atau lebih dikenali sebagai ‘haematuria.’ Ia adalah satu keadaan yang mana wujudnya sel darah di dalam air kencing.

Pegawai Perubatan Urologi Jabatan Surgeri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Mohammad Hifzi Mohd Hashim berkata, terdapat dua jenis ‘haematuria’ iaitu ‘gross haematuria’ dan ‘microscopic haematuria,’ yang mana kedua-duanya perlu pemeriksaan lanjut serta rawatan sekiranya perlu.
Menurutnya, ‘gross haematuria’ atau nama lainnya ‘visible haematuria’ adalah keadaan yang mana darah atau perubahan warna air kencing kepada warna merah atau coklat. Ia boleh dilihat dengan mata kasar.
“Keadaan ini boleh menjadi lebih teruk dengan kewujudan ketulan darah beku di dalam air kencing sehingga menyebabkan saluran kencing tersumbat dan tidak boleh kencing secara tiba-tiba.
“Manakala ‘microscopic haematuria’ atau ‘non-visible haematuria’ pula bermaksud wujudnya darah di dalam air kencing, tetapi ia terlalu sedikit untuk menyebabkan perubahan warna pada air kencing,” katanya.
Katanya, dalam keadaan ini, darah hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop. Kebanyakan pesakit kategori berkenaan kebiasaannya hadir dengan gejala lain atau langsung tanpa gejala, yang mana masalah itu dikesan ketika saringan ujian kesihatan.
“Air kencing berubah warna bergantung pada keterukan jumlah darah yang masuk ke dalam air kencing daripada warna merah jambu cair sehinggalah warna merah atau coklat pekat diikuti ketulan darah beku.
“Keadaan ini boleh berlaku secara berkala dan hilang tiba-tiba atau berterusan sehingga pesakit datang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes ‘microscopic haematuria’ pula, pesakit biasanya datang ke hospital disebabkan gejala lain seperti sakit ketika kencing, kerap kencing, sakit di bahagian bawah perut atau tepi pinggang, kencing berpasir ataupun demam semata-mata.
“Dalam keadaan ini, air kencing kebiasaannya tidak berubah warna dan kelihatan seperti biasa.
“Terdapat juga ramai pesakit tidak mempunyai sebarang gejala, yang mana darah hanya dikesan melalui ujian dipstik air kencing atau melalui mikroskop sewaktu ujian saringan kesihatan berkala.
“Bagaimanapun, pesakit tidak harus memandang ringan perkara ini dan perlu menjalani ujian kesihatan lanjut bagi mengetahui puncanya,” katanya yang turut mengatakan terdapat pelbagai punca pesakit mengalami kencing berdarah.
Menurutnya, antara yang utama ialah jangkitan kuman pada saluran kencing atau lebih biasa disebut sebagai kencing kotor.
“Kencing berdarah juga kerap berlaku dalam masalah batu karang pada buah pinggang, salur kencing atau pundi kencing.
“Selain itu, kes kelenjar prostat membengkak, trauma pada organ saluran kencing, ketulan air di buah pinggang (‘renal cyst’) dan keradangan pundi kencing adalah antara punca-punca lain.
“Namun, perkara yang paling ditakuti adalah kanser pada mana-mana bahagian saluran kencing termasuk kanser buah pinggang, kanser saluran kencing dan kanser pundi kencing.
“Selain itu kanser kelenjar prostat dan kanser saluran luar kencing pada zakar,” katanya.
Dr Mohammad Hifzi berkata, penyakit kanser yang menjadi pembunuh senyap ini kebiasaannya tidak mendatangkan apa-apa gejala pada peringkat awal dan biasanya ditemui sewaktu siasatan awal bagi kes ‘microscopic haematuria.’
“Oleh itu, saringan air kencing antara langkah awal yang mudah bagi pencegahan kanser pada saluran kencing dan mampu menyelamatkan nyawa pesakit.
“Ujian saringan air kencing boleh dilakukan di mana-mana klinik berdekatan. Jika keputusan air kencing sentiasa menunjukkan ‘microscopic haematuria,’ maka doktor akan merujuk pesakit ke pakar urologi bagi rawatan lanjut.
“Akan tetapi, jika pesakit mengalami kencing berdarah yang serius, segeralah ke hospital bagi mendapatkan rawatan awal dan siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, imbasan ultra bunyi pada organ saluran kencing dan ujian skop terhadap pundi kencing (cystoscopy) ialah antara ujian utama yang dilakukan selain ujian darah serta kultur air kencing.
“Ujian lain seperti imbasan tomografi (‘CT scan’), sitologi atau biopsi serta rawatan seterusnya adalah bergantung kepada keputusan ujian awal berkenaan.
“Cara rawatan bagi masalah kencing berdarah ialah bergantung kepada punca yang ditemui.
“Jangkitan kuman saluran kencing boleh dirawat dengan antibiotik, manakala masalah batu karang dirawat melalui pembedahan atau kaedah lain yang tertentu.
“Bagi kanser pula, ia bergantung kepada organ, jenis dan tahap kanser sewaktu ditemui. Ia memerlukan perbincangan rapi daripada pakar kesihatan serta perancangan proses rawatan terperinci,” katanya.