Kuala Lumpur: Pelakon, Farid Kamil memohon doa agar proses pengesahan rujuk dan prosiding pertama perceraian yang berlangsung hari ini dipermudahkan.
Farid, 43, tiba di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan jam 9.26 pagi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya harap, semoaga dapat doakan yang baik-baik. Insya-Allah,” katanya.
Farid hadir mengenakan kurta putih dan songkok yang dililit dengan reben putih seperti berkabung.
Terdahulu, isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle hadir jam 9.17 pagi, namun enggan memberikan sebarang ulasan mengenai prosiding hari ini.
“Saya teringin nak makan nasi lemak,” katanya ringkas.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.
Permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Pasangan ini kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Farid masih mahu mempertahankan rumah tangga dan menyayangi Diana dan anak-anaknya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun, rujuk kembali sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.