Kuala Lumpur : Penerbit juga komposer lagu terkenal, Eddie Hamid, 62, menerima positif tindakan segelintir netizen yang menukar dan menambah lirik lagu Cinta Setandan Pisang atau Bea Soba Bea dengan perkataan pil kuda.
Eddie berkata, itu hak masing-masing untuk menukar atau menambah lirik sedia ada berikutan penangkapan seorang penyanyi wanita bersama lima individu lain berhubung kes dadah di Sungai Golok Thailand, baru-baru ini.

“Bila ada (netizen) yang tukar dan tambah lirik lagu Cinta Setandan Pisang itu dengan perkataan pil kuda, saya okay dan tak apalah. Itu hak kebebasan masing-masing dan saya baca saja komen-komen ditulis.
“Ada bermacam-macam komen baru yang saya baca ditulis pada ruangan komen di saluran YouTube Kijang Music yang memuatnaik muzik video lagu Cinta Setandan Pisang, termasuk ada lirik ditukar dan ditambah netizen.
“Antara komen saya baca itu, ada mendakwa lagu Cinta Setandan Pisang makin ‘viral’ sebab pil kuda, bea kuda bea (lirik baharu) dan banyak lagi.
Malah, saya juga perasan, semua lirik lagu Cinta Setandan Pisang itu ditukar ke bahasa Thailand dengan komen-komen ditulis netizen dalam bahasa Thailand,” katanya.
Ditanya juga mengenai nasib dua lagu baharu ciptaannya iaitu Tokleh Nak Soba dan Bea Soba Bea Raya yang kini ditangguh rakaman studio, Eddie berkata, dia tetap dengan keputusan mahu menanti penyanyi wanita terbabit sehingga dibebaskan.
“Saya mengikuti perkembangan kes itu dan penyanyi terbabit kini difahamkan ditahan untuk siasatan lanjut selama 84 hari. Jadi, saya akan tunggulah sehingga dia dibebaskan dan buat rakaman yang tertangguh itu.
“Ini kerana lagu Tokleh Nak Soba dan Bea Soba Bea Raya memang saya buat untuk dia. Lagu itu kena dengan vokalnya yang tersendiri dan kalau tukar dengan penyanyi wanita lain, macam kurang sesuai pula.
“Apapun, tengoklah macam mana nanti sebab kes di sana (Thailand) pun masih disiasat lagi. Belum dijatuhkan hukuman. Cuma, kalau saya nak tukar penyanyi pun mungkin untuk lagu Bea Soba Bea Raya sebab nak ‘release’ pada hari raya Aidilfitri nanti,” katanya.
Menurut pemilik nama sebenar Abdul Hamid Adenan ini, dia bagaimanapun tetap mendoakan yang baik-baik untuk penyanyi wanita itu, termasuk segala urusannya dipermudahkan Allah.
Terdahulu, media melaporkan penangkapan enam individu termasuk seorang penyanyi wanita popular di Kelantan antara yang ditahan di Sungai Golok, Thailand berkaitan kes dadah membabitkan 6,000 pil kuda.
Semua individu berkenaan disahkan positif dadah, dengan masing-masing tidak boleh diikat jamin sepanjang tempoh siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa Thailand selama 84 hari.