Kuala Lumpur: “Apa saya lakukan itu tak seberapa tapi mungkin besar maknanya buatnya.”
Itu kata Nur Ellisa Muhd Yusoff, 24, ketika diminta menceritakan kisahnya menyambut ulang tahun kelahiran seorang gadis Cina yang datang ke kedai serbaneka tempatnya bekerja

Kisah itu mendapat perhatian selepas Nur Ellisa memuat naik video di TikTok menunjukkannya menyanyikan lagu selamat ulang tahun kelahiran sambil menyerahkan kek cawan dengan lilin kepada gadis berkenaan.
Nur Ellisa dari Sungai Besi, di sini, berkata, dia bertemu dengan gadis berkenaan yang mahu membuat pembayaran di kaunter yang mana dia bertugas ketika itu.
Menurutnya, pada awalnya, gadis itu hanya membeli kek cawan dan sudah membuat pembayaran.
“Kemudian, dia beritahu nak beli pemetik api pula dan saya tak bagi pada mulanya kerana tak nak jual kepada remaja bawah umur.
“Gadis itu keluarkan lilin daripada koceknya dan beritahu hari berkenaan adalah ulang tahun kelahiran jadi dia nyalakan lilin atas kek cawan dibeli.
“Saya tanya dia mana kawan yang lain dan katanya tiada dan beritahu nak bakar lilin untuk sambut sendiri ulang tahun kelahirannya,”
Enggan gadis itu menyambut ulang tahun kelahiran sendirian, Nur Ellisa menyalakan lilin di atas kek cawan seterusnya menyanyikan lagu hari jadi.
“Apa saya lakukan itu spontan saja dan nampak gadis berkenaan terharu serta ucap terima kasih kerana raikan hari jadinya.
“Tengok air mukanya buat saya jadi sedih tapi tak tanya lebih kerana mahu hormat privasinya.
“Tapi saya minta izin kepadanya untuk memuat naik video dirakam ketika itu di TikTok dan dia tak ada masalah,” katanya.
Nur Ellisa berkata, dia memuat naik video itu tanpa menyangka perkongsiannya mendapat perhatian ramai hingga meraih lebih 400,000 tontonan.
“Alhamdulillah, ramai komen yang positif dan dengan saya sekali orang doakan.
“Apa saya lakukan tempoh hari sekadar nak menggembirakan gadis itu kerana cuba letak diri di tempatnya.
“Lagipun, sejak kecil lagi emak saya ajar buat baik dan cuba menggembirakan orang malah saya sendiri tak ada masalah buat begitu,” katanya