500 penduduk bergadai nyawa kerana…

500 penduduk gadai nyawa

Sebuah lori melalui jambatan kayu usang sepanjang 10 meter di Kampung Lubuk Batu untuk ke jalan utama.

MUADZAM SHAH – Setiap hari kira-kira 500 penduduk kampung terpaksa membahayakan diri dengan melintasi jambatan kayu usang sepanjang 10 meter di Kampung Lubuk Batu di sini, untuk ke jalan utama.

Mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana laluan berkenaan lebih dekat untuk ke jalan utama berbanding satu lagi jalan lain namun jaraknya lebih jauh.

Ketua Kampung Lubuk Batu, Razali Napi, 62, berkata, jambatan kayu yang menghubungkan lima buah kampung ke jalan utama itu dibina pada tahun 1969.

“Jambatan kayu itu kian uzur serta tidak berpagar dan sangat merbahaya. Ia melintasi Sungai Keratong dan menjadi laluan utama penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sudah banyak kemalangan yang berlaku membabitkan kereta dan motosikal yang terjunam jatuh ke dalam sungai.

Malah katanya, kira-kira empat tahun lalu, ada kejadian kemalangan di jambatan itu menyebabkan seorang lelaki maut akibat lemas.

“Lelaki berkenaan melalui jambatan itu sebelum kereta terbabas masuk ke dalam sungai dan dia meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Razali berkata, walaupun kerajaan sudah meluluskan peruntukan untuk menggantikan jambatan yang baharu namun pembinaan belum dilaksanakan lagi.

“Saya harap pembinaan jambatan baharu berkenaan dipercepatkan. Saya bimbang jika lambat akan berlaku kemalangan lagi sehingga mengakibatkan kematian,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini ada pihak berwajib yang datang membaiki jambatan berkenaan namun hanya menggantikan kayu-kayu yang reput sahaja.

“Ini tidak memadai kerana bahagian bawah jambatan yang reput tidak ditukar baharu, memang bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Razak Abd Aziz berkata, orang ramai yang menggunakan jambatan uzur itu pada waktu malam sentiasa berasa `kecut perut’ kerana tiada lampu jalan di kawasan ini.

Katanya, dua kenderaan tidak boleh berselisih dua hala atas jambatan sempit itu dan keadaan ini turut menyukarkan lagi masalah dihadapi penduduk di situ.

“Saya harapkan pembinaan jambatan baharu dipercepatkan, kesian kami penduduk terpaksa menggunakan jambatan yang lama dan reput ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *